e

Friday, November 20, 2015

Selamat Tinggal, Farisha

Al Fatihah buat Adik Farisha yang telah kembali ke rahmatullah pada Jumaat 13 November.. Genap dah seminggu.



Flashback 8 bulan yang lalu..

April 2015

Zam tengah melayari FB, bila Zam terjumpa gambar Adik Farisha (yang ketika itu baru berusia setahun lebih) yang dimaklumkan menderita kanser mata tahap 4. Bila tengok gambar-gambar tu, menangis Zam.. Sedih, bila mengenangkan bayi sekecil tu menanggung rasa sakit yang kita sendiri- orang dewasa tak dapat tahan.

Beberapa kali, dalam tempoh sebulan tu, Zam menangis. Menangis sebab setiap kali buka FB, ternampak gambar Farisha yang di share oleh orang lain.

Ramai yang bersimpati. Ramai juga yang viralkan. Ramai juga yang hulurkan sumbangan.


Melalui info yang di viralkan juga, Zam dapat nombor ahli keluarga Farisha untuk dihubungi- ibu saudaranya. Terus Zam ambil, dan menerusi whatsapps Zam cuba hubungi untuk bertanyakan di mana Zam boleh dapatkan info terkini mengenai Farisha.

Zam diberikan akaun FB miliknya, dan dari situlah Zam temui banyak info terkini dan gambar Farisha..

Tiba-tiba tergerak hati nak melawat Farisha jika pulang ke KL nanti. Kebetulan pula, memang Zam akan turun ke KL hujung bulan April tu. Ada acara anjuran Bahagian Pendidikan Khas. Jadi Zam rancang nak lawat Farisha di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Zam dapat info itu pun dari akaun FB ibusaudaranya.


Mei 2015

Zam baru nak lawat adik Farisha di PPUM, bila Zam dapat tahu Farisha dah discharge dari sana. 

Zam diberitahu, mereka akan menginap di Kelana Jaya Homestay sebelum pulang ke Sungai Petani, Kedah.

Sebenarnya Zam ada cuti 4 hari di KL sebelum balik Kuching. Jumaat (Cuti Hari pekerja), Sabtu Ahad, dan Isnin (Cuti Ganti Hari Wesak). Rezeki dapat balik masa cuti bersambung. Jadi Zam cadang nak lawat Farisha di homestay hari Isnin tu.

Kemudian,

Zam dapat tahu mereka sekeluarga nak balik ke Sungai Petani dah Isnin tu. Jadi, plan ziarah Farisha di awalkan ke hari Ahad.

Puas juga nak mencari homestay dalam kawasan perumahan kat bandar tu. Signboard iklan pun tak ada.

Alhamdulillah, bila dah jumpa homestay tu, ibu saudara Farisha keluar sambut Zam. Melangkah masuk ke dalam rumah, Zam nampak Farisha terbaring atas tilam di tengah ruang tamu. Ibu dan ayah Farisha pun ada bersama.

Bila Zam datang dekat, baru Zam perasan Farisha sedang tidur.

Jadi, Zam isi masa dengan berbual bersama keluarganya.

Dekat sejam kat sana, Zam minta izin nak balik. Segan nak berlama-lama kat situ. Tapi rezeki Zam, Farisha terjaga masa tu.. Jadi Zam ambil peluang untuk bertegur sapa dengan Farisha.

Zam perasan, mata Farisha melirik ke arah Zam bila Zam datang dekat.

Ibu saudara yang ada di depannya, terus bercakap dengan Farisha.

Sebagai respon, Farisha akan mengangkat tangannya ketika berbaring.

'Siapa nama Farisha, angkat tangan' tanya ibu saudaranya.

Farisha terus mengangkat tangan kirinya, sebelum menjatuhkannya semula.

Zam senyum je masa tu- sambil tahan air mata.

'Farisha cantik tak?' tanya ibu saudaranya lagi.

Farisha angkat tangan lagi.

Air mata ni memang dah tak dapat ditahan.

'Farisha pandai tak?'

Senyap. Farisha tak tunjukkan respon untuk seketika.. Kemudian, dia gelengkan kepalanya.

Masa tu air mata ni dah laju mengalir.

'Eh janganlah macam tu.. Farisha kan pandai' Zam bagi kata semangat pada Farisha.

Dengar saja Zam cakap macam tu, Farisha terus angkat tangannya. Dan respon itu buatkan Zam rasa gembira sangat.

Esoknya, Zam terbang semula ke Kuching. Puas hati sangat dapat tunaikan hajat jumpa adik Farisha.

Keadaan Farisha semakin baik, & gambar ni diambil beberapa hari selepas Zam melawat Farisha di homestay.


Jun 2015


Gambar Farisha di awal bulan Jun, 
beberapa minggu sebelum Zam datang melawat untuk kali ke 2. 
Comel betul dia buat muka macam merajuk tu.


Mulanya Zam plan nak jumpa Farisha di KL masa cuti pertengahan tahun- dekat-dekat akhir Mei. Tapi tak jadi sebab masa Zam tak cun. Farisha pun dah discharge dari PPUM selepas rawatannya.

Bulan Jun, dah start puasa. Macam biasa, Zam ambil tiket pulang ke KL. Nak berbuka puasa dengan keluarga di hujung minggu.

Zam pilih tarikh 26 Jun sebab tu birthday Zam. Bolehlah buka puasa sambil celebrate birthday.

Sampai di KLIA2 dari Kuching, Zam terus masuk ke Toys'r'us. Ada promosi potongan harga untuk ahli. Hajatnya nak cari sesuatu untuk Farisha.

27 Jun- Selepas bershopping raya dengan adik perempuan di Jalan TAR, Zam terus ke PPUM. Masa tu masih awal sebelum waktu melawat dibuka, jadi Zam tunggu dulu di lobi.

Tepat pukul 2, Zam naik dengan adik ke tingkat 5. Farisha ada di bilik persendirian.

Dari luar pintu bilik, Zam dah nampak adik Farisha sedang duduk atas katil ditemani ibu saudaranya. Gembira Zam tengok Farisha, sebab keadaan dia dah bertambah baik sejak Zam jumpa dia Mei lepas.
Bengkak di mata kanan dan kiri dah makin susut.

Masa jumpa tu, Farisha macam pelik tengok Zam.

Mungkin dia tak cam muka Zam dari lawatan yang lepas.

Tak tunggu lama, Zam keluarkan permainan yang dibeli di Toys'r'us semalam dari dalam beg galas. Zam hulurkan permainan tu- patung Elsa Frozen kepada Farisha .

Untuk seketika, Farisha pegang & tenung je patung Elsa atas riba dia.
Kemudian, dia angkat kepala, toleh kepada Zam sambil senyum.

Ya Allah.. Sukanya Zam tengok senyuman Farisha masa tu. Itu senyuman pertama yang Zam tengok dari Farisha.

Zam biarkan Farisha menilik-nilik, menekan butang lagu Let It Go kat patung tu.

Sambil-sambil tu, Farisha siap cium berkali-kali permainan yang baru Zam hadiahkan pada dia.

Gembiranya Zam, tak tahu nak luah macam mana.

Dan, untuk pertama kali juga, Zam dengar suara Farisha. Mungkin dia nak mengajuk lagu Let It Go yang keluar dari patung Elsa tu.

Walaupun perkataan yang dituturkan tu tak berbutir, tapi cukuplah Zam tahu yang dia happy.


Julai 2015

Dalam minggu akhir cuti Hari Raya Aidilfitri di KL, Zam luangkan masa lagi ke PPUM sebelum pulang ke Kuching. Kebetulan family Farisha menyambut Aidilfitri di PPUM sahaja sebab Farisha dijadualkan menerima rawatan pada minggu hari raya.

Wad Farisha bertukar lagi. Dan kali ni, Farisha terbaring atas katil ditemani ayahnya. Farisha baru lepas sihat dari demam campak waktu tu. Tubuhnya susut sikit dari sebelumnya.

Melihat saja Zam datang, Farisha merengek. Mungkin dia ingatkan Zam salah seorang staf yang datang untuk berikan rawatan yang buatkan dia tak selesa.

Tapi rengekkan Farisha tak lama. Tiba-tiba dia terdiam sekejap, dan tiba-tiba dia tersenyum tengok Zam.

Sukanya Zam masa tu... Dia masih ingat Zam lagi rupanya.

Hari tu, Zam luangkan masa layan Farisha bermain bongkah lego. Buat kapal terbang, kereta sambil-sambil berbual dengan ayahnya.


Farisha & ibu saudaranya, Ogos 2015


September 2015

Cuti bulan 9 (cuti pertengahan penggal ke 2) baru je start, dan sebelum pulang menyambut Aidiladha di Kelantan, Zam ke PPUM sekali lagi. Kebetulan memang Farisha ada di sana.

Cuma apa yang berlainan kali ni, buat pertama kalinya, Zam melawat Farisha ketika dia sedang menjalani rawatan kimo.

Tak macam sebelum ni, Farisha tak senyum bila tengok Zam datang. Dia merengek bila nampak Zam.. Mungkin dia ingatkan Zam staf PPUM yang nak masukkan ubat ke dalam tiub yang bersambung ke badannya. Kesian Farisha.. tak ada mood sebab rawatan kimo tu buatkan dia rasa tak selesa.

Jadi Zam layan berbual dengan ayahnya, sambil Farisha melayan CD Maharaja Lawak Mega yang dipasang. Tenang je Farisha layan video tu. Macam terlupa sekejap rasa tak selesa yang ditanggungnya.

Itu antara cara untuk alihkan perhatian dia dari rasa tak selesa. Dan dari apa yang Zam tahu, rawatn kimo kali ni tinggi dos nya. Sebab sel-sel kanser dalam badan Farisha masih positif.

Mungkin ramai yang tak tahu, Farisha peminat Dato AC Mizal. Sebab tu, dia boleh diam, tak banyak kerenah walaupun berbaring lesu menahan sakit masa tengok video MLM tu.

Kemudian, ibunya datang. Masa tu, baru mood Farisha kembali ok.. Baru nampak keceriaan di wajah dia..

Dekat sejam lebih kat sana, Zam minta diri nak balik. Nak mengemas barang2, sebab malamnya Zam dah nak balik Kelantan.

Sebelum balik, Farisha salam & cium tangan Zam. Ibunya yang ajarkan.

Farisha nampak lebih tenang dari keadaan mula-mula Zam sampai tadi. Apapun, sempat Zam minta izin dengan ibunya, yang Zam nak kucup dahi adik Farisha sebelum tinggalkan bilik tu. Ibunya izinkan, sambil rendahkan palang katil untuk mudahkan Zam tunduk dan kucup dahi Farisha.

Kasihan.. Rambut Farisha dah makin banyak yang luruh..

Sempat Zam ambil gambar ni lepas lawat Farisha masa tu..


Oktober 2015

Bulan 10, Zam tak balik ke KL. Biasanya hampir setiap bulan Zam balik, tapi bulan 10 ni memang Zam betul-betul sibuk. Hati ni, dah mula rasa rindu dekat Farisha.. Rasa lama dah tak jumpa dia..



November 2015

Dalam masa Zam rindukan Farisha, Zam ternanti-nanti juga kalau ada gambar terbarunya diupload. Sampailah satu hari ni- 9 November, Zam perasan gambar Farisha yang terkini diupload di FB ibunya. Gembira bukan main Zam, sebab dari gambar tu Zam tengok Farisha nampak sihat dan ceria.

Farisha, 9 November 2015

11 November, Zam jadi berdebar bila baca status terbaru ibu Farisha di FB. Zam berdoa banyak-banyak masa, semoga cepatlah Farisha sembuh. Baru beberapa hari lepas Zam tengok gambarnya dengan muka ceria di FB.




Jumaat, 13 November, Zam terima perkhabaran yang adik Farisha dalam keadaan kritikal di PPUM. Tak senang duduk Zam dibuatnya di Kuching. Zam cuma mampu berdoa, Farisha tak akan apa-apa. Walaupun fikiran Zam dah mula membayangkan perkara yang tak diingini.

Dalam mencari lebih banyak maklumat, Zam terima perkhabaran yang mendukacitakan..

Farisha telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di PPUM. Memang macam tak percaya dengan apa yang baru dibaca di FB. Masa tu, cepat-cepat Zam telefon ibu saudaranya untuk pengesahan. Walaupun Zam tahu, perkara macam tu bukan boleh dibuat main di FB.
Dan seperti apa yang tersebar di FB masa tu, Farisha memang betul-betul dah tiada lagi. Farisha disahkan meninggal selepas waktu solat Jumaat.

Kaget.

Zam fikir Zam mesti balik KL petang tu juga.

Zam terus online cari tiket flight ke KL. Ada beberapa seat yang masih tinggal, tapi Zam tak dapat beli sebab dalam tempoh 4 jam sebelum penerbangan memang tak boleh beli tiket secara online.

Zam terus bersiap lebih kurang, telefon teksi, dan minta dihantar ke airport Kuching.

Samapi di KIA, Zam kena ambil giliran beli tiket di kaunter. Alhamdulillah, biarpun terpaksa tunggu agak lama, ada juga tiket ke KL dalam masa terdekat untuk pulang ke KL.

Sepanjang masa di airport, Zam tahan air mata supaya tak menangis. Terbayang-bayang wajah Farisha  di mata.

Dalam flight, tidur Zam jadi tak lena. Walaupun Zam penat yang teramat. Kejap-kejap tersedar sambil teringatkan arwah Farisha.

Tiba di Putrajaya, adik Zam dah menunggu. Kami bincang rancangan seterusnya. Zam tak pasti sama ada Zam sempat nak tengok wajah Farisha buat kali terakhir sebelum dikebumikan, tapi apapun yang penting Zam nak ke Parit Buntar dulu- di rumah keluarga sebelah ayah Farisha sebab Zam dimaklumkan arwah akan dikebumikan di sana.

Zam balik ke rumah family di Serdang dulu, mandi dan bersiap, sebelum ke Stesen Bas Kajang. Zam tawakal saja, dengan harapan ada bas ke sana malam tu.

Syukur sangat-sangat, sebab ada sebuah bas untuk perjalanan malam tu. Sempat atau tak nak melihat jenazah Farisha sebelum dikebumikan, Zam tak kisah. Yang penting, Zam boleh sampai ke sana.

Bertolak dalam pukul 11.30 malam, Zam sampai ke Parit Buntar jam 5 pagi. Terus Zam ambil teksi ke rumah keluarga Farisha.

Sampai di Kampung Parit Teropng, Perak, Zam disambut ayah Farisha dan ibunya. Mereka maklumkan, jenazah Farisha dah selamat dikebumikan pukul 1.30 pagi.

Zam terlewat, tapi Zam fikir tak mengapalah. Urusan pengebumian memang perlu disegerakan. Cuma Zam bagitahu, Zam nak ziarah kubur adik Farisha bila hari dah cerah nanti.

Sempat juga, masa tu mereka tunjukkan gambar wajah Farisha dalam telefon bimbit, selepas dia menghembuskan nafas terakhirnya, dan wajah tenang Farisha sebelum ditutup dengan kain kafan.

Sayunya hati Zam masa tu, tapi Zam cuba untuk tenangkan perasaan. Ibu dan ayahnya pun nampak tenang, jadi Zam tak mahu buatkan mereka bertambah sedih.

Bila hari dah semakin cerah, selepas dijamu sarapan pagi, Zam dibawa ibu dan ayah Farisha ke Tanah Perkuburan Sungai Kecil Ulu.


Kami hadiahkan Al Fatihah dan Yassin kepada Farisha. Selesai bacaan Yassin, kami ambil masa di sebelah kubur Farisha, sambil mengenang beberapa detik bersama Farisha. 

Zam katakan pada mereka-ibu bapa Farisha, yang Farisha ajar Zam sesuatu perkara yang beharga dalam hidup ni. Kadang-kadang, kita rasa kitalah orang yang paling derita dalam dunia ni. Tapi kita lupa, ada insan yang lebih menderita dan tak bernasib baik dari kita..



Tak apalah Farisha.. Tak ada dah rasa sakit yang ditanggung selama 8 bulan ni.. Damai dan tenanglah di sana..

-----------------------------------------------------------------

Farisha, disahkan menghidap kanser mata tahap 4 pada April 2015.. Selama 8 bulan, Farisha bertarung melawan penyakitnya.

Farisha, 2 tahun 2 bulan, disahkan meninggal di PPUM pada 13 November, pada hari Jumaat..

"dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali"

3 comments:

  1. Allah lebih sayangkannya.... Dia akan menunggu ibu bapanya di pintu syurga... Terharu baca,,,, zam sgt take care kat dia mesti lebih terasakan....

    ReplyDelete
  2. Al Fatihah untuk adik Farisha. Kanser mata, Ya Allah. Astaghfirullahalazim. Syurga tempat mu

    ReplyDelete
  3. tak tau nak taip apa. terharu sangat2x

    ReplyDelete